“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang..”
Al-Imam Al-Tabari telah menghuraikan dengan jelas maksud bagi ayat di atas. Antaranya:
wala tajassasu bermaksud, janganlah kamu mencari keaiban satu sama lain dan jangan kamu mencari rahsia dengan tujuan mengetahui kecacatan orang lain. Namun berpadalah dengan apa yang nyata dari dirinya. Nilailah dia atas asas tersebut sama ada baik atau buruk. jangan kamu mencari kesalahannya.
Kata Ibn 'Abbas : " Allah melarang orang mukmin mencari keburukan mukmin yang lain"
Kata Mujahid : "Ambillah apa yang nyata dan tinggalkan apa yang Allah tutup"
Kata Qatadah : Tahukah kamu apa itu tajassus? Iaitu kamu mencari-cari keaiban saudaramu untuk mengetahui rahsianya.
Kata Ibn Zaid : "Tajassus itu kamu berkata ; sehingga aku dapat lihat kesalahan itu, aku bertanya mengenainya untuk mengetahui benar atau tidak" (Al-Tabari, Tafsir Al-Tabari, tahzib: Dr Salah al-Khalidi, 7/40-41 Damsyik Dar al-Qalam (1997)
Al-Imam al-Ghazali telah menegaskan hal ini dalam Ihya 'Ulum al-Din:
"Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah (pasukan pencegah mungkar) tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah S.W.T. telah melarang hal ini.
Kisah 'Umar dan 'Abd al-Rahman bin 'Auf mengenai perkara ini sangat mashyur yang mana kisah ini telah disebut di dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-adab Persahabatan). Apa yang telah diriwayatkan ialah, 'Umar r.a. telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar.
Lelaki tersebut telah membantah 'Umar dan berkata "Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakai-Nya pada tiga perkara".
Lalu 'Umar bertanya "Apa dia?"
Lalu dijawab "Allah telah berfirman, 'Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain'. Sesungguhnya engkau telah melakukannya. dan Allah juga berfirman, 'Masukilah rumah melalui pintu-pintunya'. Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. dan firman Allah 'Janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya'. Sesungguhnya engkau tidak memberi salam.
Maka 'Umar pun meninggalkannya...
"Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut." (Al-Ghazali, Ihya 'Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990)
Dr Yusuf al-Qadrawi juga telah menegaskan:
“Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemunkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis “barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya….”
Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemunkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemunkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak menampakkannya. Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari kiamat.
Hisab ini bukan menjadi wewenang seseorang di dunia. Sehinggalah dia melakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya. Bahkan hukuman ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadith sahih: (bermaksud):”Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Justeru, tiada seorang pun mempunyai wewenang untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyian. (Al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, m.s. 124, Kaherah: Dar al-Syuruq).
So...konklusinya...tak perlu sibuk2 kita mencari keaiban dan kesalahan seseorang... cukuplah sekadar yang mana yang jelas dan terang... tetapi sibukkanlah diri kita mencari aib, dosa dan kelemahan diri kita moga kita sentiasa bertaubat dan merendah diri...
Wallahualam...
~Mawar.Merah~